Thursday 2 June 2011

wabak e-coli

Sejumlah sayuran dari Sepanyol yang disyaki dicemari bakteria yang boleh membawa maut ditarik balik penjualannya di Austria dan Republik Czech bagi mengelak wabak penyakit, lapor pihak berkuasa semalam.
Jangkitan bakteria yang dikenal pasti sebagai E. coli itu telah membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang manakala ratusan yang lain di seluruh Eropah mengalami keracunan.
Pihak berkuasa Czech menyatakan, sebanyak 120 timun organik Sepanyol yang disyaki dicemari bakteria itu ditarik semula penjualannya dari pasar raya dan kedai runcit.
Pegawai kesihatan di Austria pula memberitahu, hanya sebilangan jumlah timun yang ditarik balik.
Agensi Kesihatan dan Keselamatan Makanan Austria menjelaskan, pihaknya telah mengeluarkan amaran bahawa pencemaran bakteria itu turut merebak pada tanaman tomato dan terung.
Agensi tersebut mendakwa sejumlah sayuran itu mungkin telah dijual dan meminta orang ramai yang membelinya supaya segera membuang sayuran tersebut.

Bagaimana E. coli dikenal pasti?

E. coli boleh dibiakkan di dalam makmal pada piring agar-agar
daripada spesimen klinikal seperti najis, air kencing, darah dan cecair
serebrospina pesakit. Ia kemudian diproses dan dikultur.

Selepas satu atau dua hari koloni E. coli yang tumbuh pada piring akan dikenal pasti menggunakan ujian biokimia.

Biasanya proses ini mengambil masa dua hingga tiga hari. Jika E.
coli ditemui dalam air, ini boleh menjadi petanda bahawa air itu
tercemar dengan najis haiwan atau manusia. Ia boleh terjadi sama ada
melalui kumbahan sisa najis, yang boleh mengakibatkan penyakit tularan
najis ke mulut seperti Salmonelosis dan kolera.


E. coli penyebab gastroenteritis dan cirit-birit terdiri daripada beberapa jenis:
* Enterotoksigenik E. coli (ETEC)
Biasanya cirit-birit ini dialami pengembara dan bayi di
negara-negara kurang membangun. Ia berpunca daripada makanan atau
minuman yang tercemar dengan najis.
Antara gejala yang dialami ialah kekejangan perut, muntah dan cirit-birit.

* Enteropatogenik E. coli (EPEC)
Ia menyebabkan cirit-birit pada bayi. Antara gejala yang dialami ialah demam, mual dan muntah-muntah.

* Enteroinvasif E. coli (EIEC)
Jangkitan daripada makanan. Pesakit biasanya mengalami demam, kekejangan perut, cirit-birit yang ada kalanya bercampur darah.

* Enteroagregatif E. coli (EAEC)
Ia mengakibatkan cirit-birit berair pada bayi yang berlanjutan sehingga pesakit mengalami dehidrasi.

* Enterohemoragik E. coli (EHEC)
Jenis ini berpunca daripada bakteria E. coli 0157:H7 yang
mengakibatkan penyakit yang serius kepada manusia. Pesakit yang
mengalami cirit-birit ini melarat hingga menyebabkan pendarahan usus.

Bakteria ini akan masuk ke dalam perut dan usus kecil. Ia
kemudiannya melekat pada permukaan usus besar dan mengakibatkan radang
pada dinding usus. Tindak balas ini disebabkan toksin yang dihasilkan
oleh bakteria terbabit.

Ia berpunca daripada pengambilan produk tenusu seperti susu atau jus
buah yang tidak dipastur, sayur-sayuran yang tidak dimasak seperti
salad dan produk daging separuh masak.

Antara gejalanya ialah kekejangan perut dan cirit-birit berdarah.
Keadaan ini boleh berlanjutan hingga pesakit mengalami komplikasi
hemolytic uremic syndrome (HUS).

Ia menyebabkan komplikasi seperti kegagalan buah pinggang akut, sel
platelet menjadi rendah dan kekurangan sel darah merah. Kira-kira tiga
hingga lima peratus meninggal dunia akibat komplikasi ini.

E. coli O157:H7 buat pertama kalinya menyebabkan wabak penyakit
cirit-birit berdarah berlaku pada 1982. Wabak itu dipercayai berpunca
daripada burger yang tercemar. Selepas itu wabak E. coli O157:H7 juga
telah dilaporkan terjadi di Amerika Syarikat, Jepun dan United Kingdom.


Rawatan

Rawatan untuk UTI, jangkitan kuman dalam darah atau septisemia,
radang selaput otak pada bayi dan jangkitan pada luka pembedahan,
pesakit perlu diberi ubat antibiotik tertentu.

Sebaliknya, pesakit yang mengalami cirit-birit perlu mendapat air
dan garam gantian secukupnya sama ada melalui minuman atau intravena.
Bagaimanapun, agen menghalang pergerakan usus seperti lomotil tidak
disyorkan kerana ia mengakibatkan cirit-birit yang dialami menjadi
semakin serius.


Pencegahan 

Sehingga kini, belum ada vaksin digunakan secara rutin untuk mencegah jangkitan E. coli.
Penggunaan antibiotik profilaksis juga tidak disyorkan kecuali
kepada individu yang berisiko tinggi menghidap cirit-birit akibat
mengembara.

Lebih penting amalan kebersihan diri dan menggunakan air
bersih dapat membantu mengelakkan masalah ini. Selain itu:
* Mengelakkan daripada menggunakan kateter membuang air kecil
* Menyusu bayi dengan susu ibu
* Pastikan daging yang dimakan masak sepenuhnya
* Minum susu yang dipasteur
* Kepada pengembara, pastikan mengamalkan makanan yang dimasak dan minum air yang dibotolkan atau dididihkan.

1 comment: